Friday, June 15, 2012

Kembara Cinta Kampus


KEMBARA CINTA KAMPUS
Dadanya berombak kencang . Nafasnya menderu deras . Semangatnya tinggi melangit .
“Never underestimate the power of making connections and building relationship with people before asking them to follow you!”
Bersemangat ku lihat motivator itu berkata-kata .
“Leaders touch a heart before they ask for a hand”
Setiap bait kata-kata motivator itu memberi kesan ke dalam benak fikiranku . Ahh , sebaik sahaja aku jejakkan kaki di kampus nanti akan aku praktikkan . Aku ingin mengajak manusia berada dalam kebaikan amnya dan kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup khususnya .
            Terik mentari di luar jendela salah satu kelas di AL-Amin Gombak tidak mematahkan semangatnya untuk terus setia mendengar bait-bait kata motivator itu . Orangnya yang tinggi berbadan sedikit gempal terus menarik minatnya menjadi orang Islam yang sentiasa mengajak kearah kebaikan setiap masa . Sungguh aku merindui keadaan di mana islam dipraktikkan dalam segala aspek . Bukan sekadar solat , zakat , puasa dan nikah . Semangat!
***
“Pertama kali saya melihat kamu , saya dapat lihat ada potensi dan bakat yang pada diri kamu . Saya yakin kamu boleh berjaya suatu hari nanti” ujar Ustaz Saiful Islam . Lembut sahaja kata-katanya . Persis seorang abang yang kasih akan adiknya . Ahh , kalaulah aku ada abang , bolehlah aku jadikan tempat mengadu meminta kasih sayang . Ya Allah , aku nak abang!
“Kamu ada berapa adik beradik?”
“Lapan” perlahan sahaja aku menjawab . Masih cuak berdepan dengan pensyarah subjek Kemahiran Al-Quran aku ini , walaupun tutur katanya lembut bersahaja . Lumrah orang yang bersalah . Tiada kekuatan berdepan kebenaran . Aku terperangkap dalam lumpur yang aku calit sendiri ke badanku .
“Kamu anak ke berapa? Jangan takut . Anggaplah saya seorang abang yang sedang membantu adiknya” Mungkin reaksi aku terlalu nyata .
“Sulung”
“Berat tanggungjawab sebagai anak sulung . Kamu menjadi harapan tertinggi kedua ibubapa kamu . Adik-adik melihat , mengikuti jejak langkah kamu . Jika kamu terus begini rasanya apa yang ibu bapa kamu akan rasa?” Hatiku pedih . Kebenaran sungguh menyakitkan . Tak tertahan sakitnya .
“Nanti mereka sedih”
“Kamu sanggup lihat mereka sedih?”Soalan cepumas .
“Tak…” Perlahan aku menjawab . Kolam airmata mula mencurahkan isinya .
“Saya tak memaksa kamu . Saya cuma minta kamu fikirkan yang terbaik buat kamu , ibu bapa kamu , keluarga kamu dan masa depan kamu . Hidup bukan setakat di sini . Realiti kehidupan masih panjang lagi . Pilihlah yang terbaik . Yang baik untuk kamu , agama , keluarga dan juga si dia”
“Jika ada apa-apa masalah janganlah malu untuk bertanya kat saya . Anggap saya abang kamu” Ya Allah , wujud lagi rupanya insan yang berhati mulia . Insan yang sanggup membantu orang lain yang tiada pertalian darah , hanya pertalian pensyarah dan anak muridnya saja .
Ya Allah , aku teringin miliki seorang abang . Agar waktu-waktu sesak begini dia hadir menemani ku . Melindungi aku dari sebarang cinta ilusi . Menghulurkan bahunya untuk aku mengalirkan kolam air mata . Kenapalah aku sering ada masalah . Aissshhh .
Langkahku lemah saat keluar dari bilik pensyarahnya itu . Pensyarah muda . Ramai anak didiknya yang tergila-gilakan dia . Punya pakej yang lengkap . Rupa paras yang menarik , tinggi lampai , extranya , mahir bertarannum . Nasib sudah beristeri . Mungkin untuk menghindarkan fitnah .
Suasana malam yang dingin dan nyaman itu langsung tidak terkesan di hatinya . Kata-kata Uztaz Saiful Islam terus menari-nari di kotak pemikirannya . Neuron-neuron terus berlari-lari di serata otaknya . Apa yang harus aku lakukan! Arghh! Aku sayang dia! Tapi ini bukan caranya!
***
Sayup-sayup kedengaran suara alunan ayat suci al-Quran . Al-Quran , kitab suci umat Islam . Menjadi panduan dan bimbingan dalam menelusuri kehidupan duniawi ini . Lunak bacaannya . Indahnya . Kesejukan pagi seusai subuh menambah rasa nyaman di kalbu . Bukan senang untuk berada seperti di saat ini . Pagi dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran . Kemudian , dicorakkan dengan aktiviti ilmiah , bekalan dunia dan akhirat . Petang waktu bersuka ria bersama rakan-rakan . Apabila hari ingin melabuhkan tirainya ditutupi dengan alunan ayat suci al-quran juga . Jiwa terasa tenteram dengan keadaan begini .
“Aaaaeeeeeoooooouuuuuu … aaaaaaaaeeeeeeeooooouuuuu .. peserta perempuan turun! haha” Kedengaran bunyi siren buatan peserta  lelaki . Kelakar bunyinya . Tergelak ku sendirian di dewan . Terlelap rupanya . Inilah penangan ketenangan di waktu dinihari . Tak sangka menjangkau masa untuk sukan pagi . Aktiviti yang paling tidak digemari peserta perempuan dalam program ini . Adatlah tu . Sudah tiga hari aku berprogram di sini , Sekolah Al-Amin Gombak . Program untuk melatih diri menjadi pemimpin yang berjaya dunia , cemerlang akhirat . Di sini juga aku menambah kenalan baru . Melatih diri menjadi seorang yang lebih mesra .
Segera aku bangun siapkan diri untuk turun ke gelanggang bola keranjang . Tempat semua peserta berkumpul . Walaupun lambat , hakikatnya aku antara peserta perempuan yang awal turun . Ampunlah fasi , kaum hawa ni lemah sikit bersukan . Jangan dimarahi kami. Walaupun program ini melibatkan dua jantina yang berbeza , pergaulan masih dipelihara . Masih lagi berlandaskan al-quran as-sunnah . Orang beriman sewajibnya mematuhi panduan yang ditunjukkan di dalamnya .
Teringat suatu ketika dulu , zaman dimana kematangan akal berfikir diragui . Aku berazam menjadi gadis tomboy . Gadis yang tampak gagah fizikalnya . Waktu itu , aku suka jika ada yang tak menyenangi diri ini . Kawan? Maaflah , aku tidak berminat untuk membina tali silaturrahim dengan sesiapa . Sungguh , zaman persekolahan yang tidak menggembirakan . Tiada kenangan manis untuk di layarkan semula di kotak fikiran .
Dikenang semula memori zaman persekolahan yang tiada corak berwarna warni , hanya hitam putih yang terzahir . Ahh , itu semua dulu . Biarlah menjadi pengajaran buat diri ini . Tiada gunannya mengenang kisah lalu . Hidup mesti diteruskan . Kisah semalam dijadikan azimat untuk terus maju pada hari ini dan inspirasi bagi hari esok!
Perjuangan hari ini mesti diteruskan . Bumi ini dan pemiliknya menuntut aku untuk terus mengajak manusia sekalian alam kembali mengerjakan kebaikan . Hatta , itu fitrah manusia . Sukakan kebaikan .
***
“Aku hairanlah”
“Hairan kenapanya?”
“Orang lain datang ke Kuala Lumpur ni biasanya makin lupa diri , hanyut dengan keseronokan dunia . Tapi kau pula sebaliknya . Hairan , hairan “ Azira meluahkan kehairanannya .
“Laa , apa yang nak dihairankan . KL tu pon tempat manusia juga , bukannya tempat haiwan” seloroh ku . Malas hendak dilayan sebenarnya .
“Apa yang buat kawan aku yang lama ni jadi orang baru? Macam mana hubungan kau dengan laki tu”
Teeeeet! Aku dah agak dah soalan ni akan terpacul juga dari mulut rakan baiknya itu . Bukan tiada keinginan untuk menjawab , Cuma tidak mahu memori lama yang cuba dihapuskan dari ingatan bertandang kembali .
“Kalau Allah nak kasi hidayah tu bila-bila je boleh berlaku . Anytime , anywhere . Tiada siapa boleh halang” Balasku . Sebolehnya tidak mahu membuka cerita lama . Cerita kejahilanku . Cerita kebodohanku .
“Tu semua orang tahu! Mengelat nak jawab ea . Sampai hati ..” Sedepa muncung Azira . Alahai kawan , hilang kecantikan kau bila buat macam itu .
“Iyalah , iyalah . Aku cerita . Macam ini , selepas aku kena tegur dengan Uztaz Saiful Islam , aku mula rasa jauh hati dengan dia . Mak aku pun dah bising bila tengok keputusan exam aku teruk . Rakan-rakan sebilik aku pun rasa tak senang dengan hubungan aku dengan mamat tu . Bila sampai KL , kita kan sibuk dengan tutorial yang berlambak , lab report yang tak bersudah , test yang tercapai akal , masa tu aku dah kurang berinteraksi dengan dia , banyak masa habis dengan study . Masa tu aku rasa selesa dengan keadaan tu . Aku makin jauh dengan dia . Aku dekatkan diri dengan budak-budak baik stok ustazah . Diorang yang banyak kasi nasihat bila aku duduk-duduk dengan mereka . Aku suka dengan cara mereka . Tak memaksa dan tak mengungkit kesalahan aku . Aku suka! Bila diorang ajak pergi kuliah agama aku ikut jelah . Lama-lama aku lekat . Aku rasa gembira bila pergi kuliah agama .”
“Wahhhhh , habis tu macam mana dengan dia ?”
“Bengang laa . Tapi nak buat macam mana lagi , aku taknak teribat dengan cinta yang takde kesudahan yang pasti . Buang masa . Sekarang ini aku nak tumpukan dengan jalan yang aku pilih ini , bawa orang ramai kembali kepada Islam yang sebenar , Islam sebagai cara hidup , bukan sekadar solat dan di masjid sahaja . Kalau ada jodoh , aku terima , tapi mungkin lepas habis belajar .”
“Kau kahwin nanti jangan lupa jemput aku tahu! Aku nak jadi pengapit!”
“Hehe . Azira , lambat lagilah . Kau tu bila?”
“Hehe . Calon takde lagi macammana nak kahwin . Haha”
Indahnya bersahabat tanpa berkepentingan peribadi . Manisnya . Bersahabat yang mana bila sesat dia tarik semula ke jalan yang lurus . Bila terjatuh , dia menghulurkan tangan membantu . Bila hati berkecamuk , dia datang menghiburkan keadaan .
***
Badan terasa letih yang teramat sangat . Hari sudah masuk hari ke-10 aku berkampung di sini . Hubungan dengan kawan-kawan baru kenal semakin erat . Walaupun usia perkenalan tidak menjejak berbulan lamanya , mereka sedikit pun tidak lokek untuk membantu . Membantu agar terus kuat dalam jalan yang telah aku pilih ini . Jalan menuju syurga Allah , tuhan yang satu . Jalan ini menuntut aku agar terus menerus mengajak orang di sekeliling aku kembali kepada Islam secara gaya hidup yang total . Ilmu yang diberi juga semakin menebal di dada . Namun , apa gunanya ilmu yang meninggi setinggi Eiffel Tower jika hanya tercatit rapi didalam buku nota tanpa sebarang amali .
Pengalaman lalu , ahhh biarlah aku simpan dalam lipatan kisah hidupku . Bukan bererti melupakan , tapi biarlah menjadi peringatan di saat aku terleka , menjadi iktibar di waktu aku lalai . Doaku agar tiada yang mengungkit kembali kisah itu . Sekarang , aku mengejar cinta yang lebih agung . Cinta kepada pemilik alam semesta . Cinta yang lebih mahal , yang harus kubayar dengan kehidupan dunia sementara ini . Alangkah nikmatnya!
Universiti Malaya! Nantikan kedatangan ku! Akan ku kibarkan panji-panji Islam di segenap ceruk universiti tertua itu . Akan ku praktikkan ilmu yang ku pelajari . Biar bumi itu menjadi bukti kecintaan aku terhadap ilmu-ilmu Maha Pencipta . Biar bumi itu menjadi saksi di akhirat kelak , aku sudah menjalankan kerja aku . Kerja sebagai seorang pencinta tuhannya , Allahu Rabbi . Allahu akbar! Allah Maha Besar!

NAJLA
-sebarang kritikan membina digalakkan .. Ni kes takde pengalaman nak cari pengalaman >.<

Wednesday, June 6, 2012

Tanah yang mahal .


Tanah Yang Mahal
Darah merah pekat mengalir laju daripada betisnya . Ditembak . Kakinya tidak mampu menampung badannya itu . Tersungkur . Sang Zionis tergelak melihat lawannya jatuh tersungkur . Laras senapang dinaikkan untuk terus meluahkan butir-butir peluru . Mahu dicorakkan tubuh badan musuhnya dengan peluru besinya . Palestin pasti jadi milikku!
***
Mimpi pagi tadi masih segar di kotak fikirannya . Bingkas Steven bangun , lalu membuka langsir tingkap biliknya . Pandangannya di buang ke luar . Kocakan air kolam buatan di halaman rumah banglo milik bapanya mendamaikan hatinya setelah bermimpi ngeri .
“Kenapa aku sering bermimpi sebegini ? Sudah lima hari aku bermimpi benda yang sama . Arrgghhh!” Satu tumbukan padu dikenakan di dinding .
***
“Ah , sudahlah . Tak perlu kau ambil pusing mimpi-mimpi kau tu . Mainan tidur saja tu” ujar Saiful .
“Masalahnya benda yang sama aku mimpikan!” nada tidak puas hati Steven tersembur .
“Mula-mula aku mimpi aku bunuh kanak-kanak , esoknya aku mimpi aku rogol perempuan . Aku jugak ada mimpi aku bawa kereta kebal robohkan rumah , bom sekolah , masjid . Yang pastinya dalam semua mimpi tu aku jadi tentera Israel . Ikut suka hati aku je nak tembak orang lain .”
“Ada petanda kau bakal jadi komander tentera Israel tu . Haha” Seloroh Saiful.
“Ada yang nak kena makan tapak kasut ni” Dia sedar , walaupun Saiful berbangsa Melayu , dia sedikit pun tidak endah perihal dunia luar , terutama tentang perihal orang-orang yang beragama sama dengannya . Namun , megah mengabadikan di laman Facebooknya ‘I’m proud to be a Muslim!’ . Apabila ditanya mengapa rakan-rakan Islam yang lain sibuk berbicara tentang Palestin , dia menyatakan isu itu tiada kaitan dengan dirinya . Itu adalah hal orang-orang arab .
Hairan . Bagi Steven , meskipun Palestin itu adalah negara orang Islam namun baginya apa yang berlaku di sana adalah isu hak asasi manusia . Siapa dapat menerima jika kita dihalau keluar dari rumah sendiri . Dihalau seperti seekor anjing liar mencari sisa-sisa makanan di dalam tong sampah . Kemudian dilihat secara siaran langsung rumah sendiri dirobohkan oleh orang asing . Tapak rumah yang dirobohkan itu didirikan bangunan baru dan rumah baru untuk warga perampas , Yahudi . Lebih menyakitkan hati . apabila mengetahui warga Yahudi yang dipanggil menetap di rumah baru tanah warga Palestin adalah dari Eropah . Bukan seribu dua , sebaliknya ratusan ribu . Saiful sedikit pun tidak tahu tentang perkara ini .
“Ayuh , kita ke Mid Valley petang ni,” ujar Saiful .
“Ada apa disana?” soal Steven . Malas hendak keluar sebenarnya . Sejak bermimpi sebegitu , banyak perkara yang gemar dilakukan kini jarang dilakukan . Ramai rakan-rakannya pelik melihat ketidak hadiran Steven ke program kolej sepanjang minggu ini . Siapa tidak kenal Steven ? Aktif berpersatuan di Kolej Kediaman Raja Dr Nadzrin Syah . Kolej yang sibuk dengan hiburan dan aktiviti sosial terkenal di kawasan universiti tertua di Malaysia . Namanya sentiasa tercatat di berita-berita kampus . Gah . Steven bangga dengan semua itu .
“Ala , aku teringin makan McDonald la . Sekarang ni ada burger foldover baru . Wah , sedapnyaaaaa!,” Saiful membayangkan makanan tidak berkhasiat itu .
“Eh , kau tidak tahukah?”
“Tahu apa?”
“Sekarang ni masyarakat tengah boikot McDonald . Sebab hasil pendapatan disalurkan kepada Yahudi untuk membeli senapang dan peluru kemudian digunakan untuk membunuh rakyat Palestin!” semangat Steven menjelaskan .
“Alaa , bukannya selalu aku makan kat sana . Sekali sekala je . Tak lepas pon satu senapang depa nak beli . Tapi sekejap , mana kau tahu semua tu? Sejak bila pula kau jadi aktivis Palestin ni?” Saiful bertanya . Nadanya seakan tidak puas hati . Tidak puas hati apabila dipertikaikan tindakannya ,
“Itulah kau . Banyak masa dengan awek kau je , pergi main bowling la , tonton wayanglah , berkepit sana sini . Isu global pon kau tak tahu.” Bidas Steven .
“Ceh , kurang asam punya kawan . Eh , lepas ni bolehlah kau jadi aktivis Aqsa Syarif . Boleh pergi Palestin nanti” Seloroh Saiful .
“I’ll do it”
Terkesima Saiful .
***
Angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipinya . Kelihatan sebahagian Kuala Lumpur dari puncak Bukit Botak , Universiti Malaya . Nafas dilepaskan . Penat . Penat mendaki puncak bukit ni . Memang wajar dinamakan Bukit Botak , ujar Steven di kotak hati . Tiada sebarang tumbuhan melainkan simen sahaja . Asalnya adalah tebing bukit yang dihiasi tumbuhan hijau . Namun , apabila berlaku kejadian tanah runtuh di situ yang mengakibatkan perpustakaan baru Akademi Pengajian Islam ranap , bukit itu disimen . Demi keselamatan sejagat . Kini , bukit itu menjadi tumpuan para siswa siswi melakukan riadah . Tidak terkecuali Steven .
Tidak semena-mena terbayang di layar minda Steven , bagaimana penduduk di Dier Yassin diperlakukan . Kawasan di Dier Yassin dibersihkan , diratakan seperti mana ratanya Bukit Botak ni tanpa sebarang tumbuhan . Di sana , penduduk Palestin dibersihkan dari situ untuk membuat penempatan baru rakyat Israel . 33 orang yang sedang bergembira di majlis perkahwinan diarah berbaris sepanjang tembok bangunan . Ditembak . Pasangan pengantin baru juga tidak terkecuali . Peluru-peluru tidak bermata menghiasi tubuh-tubuh warga Palestin itu . Orang Islam memanggil orang-orang yang mati itu sebagai syuhada . Mulanya , dirinya tidak tahupun makna syuhada itu apa . Hendak bertanya kepada Saiful , tapi rimas melihat rakan sekuliahnya itu lebih gemar bersuka ria . Lalu dia bertanya kepada Furqan . Perwatakan Furqan menyenangkan hatinya . Entah mengapa .
Bagi Steven , bersuka ria perlu ada tempatnya . Bukan sepanjang waktu . Dia lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca berita-berita terkini . Nasional dan global . Dia sudah dapat membiasakan diri apabila rakan-rakan memanggilnya ‘Televisyen bergerak’ . Dia lebih banyak info mengenai keadaan semasa berbanding rakan-rakannya . Nafas berat dihembuskan .
Langkahnya deras menuruni Bukit Botak . Ingin segera sampai ke kolejnya . Nyamuk-nyamuk semakin aktif menggigit lengannya yang terdedah . Papan tanda ‘Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya’ setia berdiri di tempatnya apabila Steven melepasinya . Disitulah dia mengenal dunia Palestin . Di situlah dia mengetahui betapa keji lagi hina disiplin tentera Israel . Bermimpi menjadi tentera Israel tidak menyenangkan hatinya . Apatah lagi apabila mengetahui tentera-tentera bernafsukan iblis itu merodok perut perempuan-perempuan hamil dan dikeluarkan janinnya . Janin-janin dikerat dihadapan ibu-ibu seramai 25 orang itu . Kejam! Kanak-kanak yang sepatutnya berlari-lari girang dipancung . Dipancung di hadapan ibu-ibu mereka . Penyeksaan mental dan fizikal serentak! Dan ini bukan yang pertama . Sudah bermacam kekejaman tentera Israel itu lakukan . Di Qilqiya , Nablus , Akka , Tulkarem , Beersheba , Baisan , Haifa , dan Yaffa juga diperlakukan perkara yang sama . Membara hati Steven mengingati perkara ini . Boleh sahaja dia mengenepikan perkara yang tiada kaitan dengannya itu . Dia dan rakyat Palestin bukannya ada apa-apa pertalian darah atau diplomatik . Tetapi ianya disebabkan naluri kemanusian masih terukir di kotak mindanya . Dia harus peduli .
***
Setibanya di kamarnya , dia keletihan . Lantas terus berbaring . Niat di hati ingin melepaskan lelah . Penat . Mendaki bukit sememangnya melatih badan agar menjadi sihat dan cerdas . Namun berbaring setelah bersenam bukanlah perkara yang menyihatkan . Bingkas Steven bangun . Laptop HP Pavilion dv2 miliknya dicapai . Dibuka . Isu Palestin masih panas dibincangkan neuron-neuron di dalam kepalanya . Dia menaip perkataan ‘Dier Yassin’ . Pertolongan Google amat-amat membantunya mengenali Palestin . Dengan motto ‘Don’t Be Evil’ , Google memudahkan lagi kerjanya berkenalan dengan Menachem Begin . Menachem Begin , Perdana Menteri Israel dan pernah dianugerahkan nobel keamanan . Nobel keamanan ini diberi kerana jasanya memimpin kumpulan Haganah menceroboh tanah-tanah milik warga Palestin dengan menggunakan 16,000 senjata api ringan dan kira-kira 1750 senjata pemusnah yang lain . Huh , licik sungguh orang-orang Zionis ini!
Hatinya makin membara ibarat disimbah minyak , apabila menjumpai kata-kata Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ , “tanpa apa yang berlaku di Dier Yassin , maka tidak akan wujud Negara Israel” . Angkuh dan kejam! Hatinya terbakar .
***
“Memang kami berjauhan , dipisahkan sempadan-sempadan negeri dan lautan-lautan terbentang luas . Tapi , kami kasih dan sayang mereka kerana kami bertuhan sama , Allah , kitab kami sama , al-quran , rasul kami sama . Jarak bukan pemisah dan perbezaan antara kami . Itulah kenapa kami mengambil berat isu saudara-saudara kami di Palestin .” Itulah jawapan Furqan apabila Steven mempersoalkan tindakannya mengumpul derma untuk warga Palestin . Dilihatnya bersungguh-sungguh Furqan mendapatkan dan menerangkan tentang Palestin kepada orang lain . Satu peluang bagus kepadanya untuk menyingkap lebih lanjut tentang isu di sana .
“Sudah 64 tahun , kenapa saudara-saudara kau di sana masih boleh bertahan melawan tentera Israel ?” soalnya . Hairan mengapa saudara Furqan di sana masih bertahan . Sedangkan seluruh isi alam mengetahui kejamnya tentera Israel ini .
“Kerana itu tanah tumpah mereka . Mereka takkan mudah menyerah kalah” Furqan tersenyum menjawab .
“Dari perspektif Islam?” Steven , bangsa Cina yang berpengetahuan luas takkan lepas menyoalkan isu ini .
“Nabi kami pernah menyebut dan menyuruh untuk menjaga Masjid Al-Aqsa di Palestin . Kerana kami sayangkan Rasul kami , kami turuti apa yang disuruhnya . Walau kami tiada kudrat untuk pergi berjuang seperti saudara kami di sana , kami di sini tetap bersama mereka dalam doa kami dan usaha-usaha kami menyedarkan orang lain tentang keadaan sebenar di sana .” Panjang lebar penerangan Furqan . Terjelas di riak mukanya kegembiraan dan keterujaan menjawab soalan Steven .
“Sungguh mahalnya bumi Palestin bagi kami untuk dijual kepada orang Yahudi . Kami takkan sesekali menggadai tanah itu dengan perjanjian-perjanjian damai yang hanya akan menjerut kembali leher sendiri . Biar darah dan air mata menjadi saksi kami menentang penceroboh tanah kami umat Islam!”
Terkesima . Terpegun Steven mendengar bait- bait kata-kata semangat Furqan . Inilah orang Islam yang sebenar . Ya , aku yakin! Terasa satu arus semangat mengalir deras di dalam salur-salur darahnya , dalam sendi-sendi badannya , dalam deru nafasnya .
“Furqan!”
“Ya?”
“Bantu aku”
“Apa dia? Kalau aku mampu , dengan izin tuhan aku Allah , aku akan membantu kau”
“Bantu aku berada dalam agama kau”

-Penulisan tamat , perjalanan ke syurga tidak tamat lagi-
doakan saya ..
Alhamdulillah ..

Najla 
rujukan : www.aqsasyarif.org.my